Friday, January 30, 2009

Komisyen Reinsurans, Bagaimana Menguruskannya?

Komisyen Reinsurans, Bagaimana Menguruskannya?

Ahmad Hidayat Buang
Universiti Malaya

Emel: ahidayat @ um.edu.my
Tel: 603-79676000

Tajuk ini pada fahaman saya cuba untuk membahaskan kedudukan syarikat takaful yang menjalankan perhubungan dengan syarikat insurans konvensional. Dalam proses tersebut sebagaimana dalam amalan dalam industri reinsurans syarikat takaful menerima bayaran komisyen tertentu daripada syarikat reinsurans. Lanjutan daripada itu maka timbul persoalan apakah status bayaran komisyen yang diterima ini. Namun begitu tajuk ini nampaknya secara tidak langsung sudah menjawab persoalan ini iaitu cenderung untuk menyatakan bayaran komisyen tersebut adalah harus diterima kerana fokus yang diminta untuk saya bahaskan adalah bagaimana untuk menguruskannya. Perkara yang diminta untuk diurus ini lazimnya sudah diterima dari segi konsepnya. Sungguhpun demikian izinkan saya terlebih dahulu mengulas sedikit tentang kedudukan komisyen itu sendiri dari segi hukum Islam, hukum menerimanya dalam konteks reinsurans dan retakaful dan seterusnya bagaimana untuk menguruskannya.

Saya percaya kita semua sudah mengetahui apakah yang dimaksudkan dengan reinsurans atau takaful semula namun begitu di sini saya akan menyentuh beberapa perkara mengenainya sebagai asas perbincangan selanjutnya dalam konteks bayaran komisyen. Di dalam bahasa Arab reinsurans dikenali sebagai i‘adah al-ta’min. Semua sarjana Islam dalam bidang takaful serta kewangan Islam berpendapat bahawa konsep takaful semula ini adalah selaras dengan Syariah Islam sebagaimana dengan konsep takaful itu. Cuma perbezaan ketara antara takaful dan takaful semula ialah takaful semula perhubungan di antara syarikat takaful dengan syarikat takaful atau insurans semula yang lain. Ia adalah perhubungan di antara profesional. Tujuan takaful semula atau reinsurans adalah untuk menyebarkan tanggungan risiko syarikat takaful supaya dapat menunaikan tanggungjawabnya. Oleh yang demikian ia adalah bertujuan untuk bantu membantu dan tolong menolong dan ia adalah selaras dengan Syariah.

Konsep di atas tidak mendatangkan sebarang masalah sekiranya kedua-dua syarikat pemberi (ceding company) dan penerima takaful itu berasaskan Syariah. Pada masa lalu timbul persoalan iaitu apakah boleh sebuah syarikat Takaful boleh mengtakaful semula dengan syarikat insurans? Pada umumnya amalan ini tidak dibenarkan kerana syarikat insurans menjalankan perniagaan tidak menurut Syariah terutama terlibat dengan pelaburan yang berunsur ribawi. Sungguhpun demikian, keperluan kepada takaful atau insurans semula ini amat mendesak, di mana terdapat sesetengah ahli jawatankuasa Syariah syarikat Takaful berpandangan Syarikat Takaful boleh mengtakaful semula premiumnya dengan syarikat insurans konvensional berasaskan kepada prinsip hajah atau darurah. Keizinan ini diberikan hanya sementara waktu atas alasan masih terdapat kekurangan syarikat takaful di pasaran ketika itu. Ini ditambah lagi dengan alasan syarikat Takaful boleh menimba pengalaman dengan syarikat insurans yang telah lama berada di pasaran melalui kerjasama ini. Dalam menjalin kerjasama ini sesetengah penulis meletakkan beberapa syarat seperti berikut (Mohammed Burhan Arbouna 2000, pp.349-350):

1. Kerjasama berkenaan tidak akan mendatangkan kemudaratan kewangan atau destabilasasi sistem kewangan dalam negara syarikat takaful berkenaan.
2. Perjanjian kerjasama reinsurans semula itu seboleh-bolehnya membawa keuntungan kepada syarikat takaful ataupun sekurang-kurangya situasi menang-menang
3. Mesti memberi keutamaan kepada syarikat takaful yang lain apabila sahaja timbul kesempatan untuk berbuat demikian
4. Mesti meneliti dengan berhati-hati kuantum liabiliti yang diinsuranskan bagi mengelakkan berlakunya gharar yang jelas dan nyata
5. Melakukan insurans semula berasaskan kepada premium asas bersih (net premium basis) dan tidak boleh menerima sebarang bayaran keuntungan yang berasaskan riba
6. Syarikat takaful digalakkan memaklumkan peserta dan pemegang saham mengenai kerjasama ini dan menggalakkan mereka menambah sumbangan tabarru‘ bagi tujuan reinsurans atau retakful
7. Berusaha untuk memujuk syarikat insurans konvensional supaya dapat mengadakan perjanjian usaha sama berkenaan berasaskan perkongsian untung dan rugi atau musyarakah dan pelaburan premium tersebut mengikut prinsip-prinsip hukum Islam.

Melalui penerangan kerjasama antara syarikat takaful dan insurans konvensional dibenarkan melalui prinsip darurah atau haja serta ditambah syarat-syarat yang lain seperti di atas supaya penggunaan prinsip ini bertepatan dengan kehendak Syarak. Maka timbul lagi beberapa persoalan iaitu apakah sesetengah amalan di dalam insurans konvension tersebut boleh diterima dari segi hukumnya. Pertamanya ialah penggunaan kaedah untuk melakukan reinsurnas. Dari segi amalan, terdapat dua kaedah yang digunakan untuk menjalankan reinsurans ini iaitu secara perkongsian kouta (quota share basis) dan perkongsian lebihan (surplus share basis). Mengikut pandangan ulama masa kini yang mengkaji sistem kewangan moden seperti Wahbah Zuhayli dan Muhammad Sulaiman Ashqar, kedua kaedah di atas adalah harus mengikut hukum Syariah. Sungguhpun demikian Wahbah Zuhayli berpandangan kaedah perkongsian kouta adalah lebih diutamakan.

Amalan kedua yang menjadi pokok perbincangan kertas ini ialah bayaran komisyen yang diterima oleh syarikat takaful daripada syarikat insurans semula. Bayaran komisyen ini dan lain-lain bayaran adalah berasaskan kepada perjanjian atau treaty reinsurans. Terdapat pelbagai pandangan mengenai bayaran komisyen ini melihat bagaimana perjanjian itu dibuat. Ada sesetengan penulis berpendapat bayaran ini mempunyai unsur-unsur ribawi dan gharar yang jelas kerana bayaran tersebut berasaskan kepada peratus pra anggaran premium (premium pre-estimated percentage) yang diserahkan kepada syarikat reinsurans. Ini adalah gharar kerana bayaran komisyen ini bukan lagi berasaskan kepada akad tabarru‘ tetapi pertukaran. Kedua kerana syarikat takaful tidak terlibat dengan kerugian yang berlaku kepada syarikat insurans semula. Ini adalah bercanggah dengan konsep tolong-menolong dan bantu membantu takaful itu sendiri. Keadaaan ini hanya akan menyebabkan syarikat takaful hanya bertindak sebagai agen semata-mata dan tidak terlibat dengan konsep perlindungan takaful.

Sebelum jawapan diberikan kepada alasan-alasan di atas maka perlu kita selidiki sedikit apakah tujuan bayaran komisyen ini dan kedudukannya di dalam hukum syarak secara umum. Amalan menerima komisyen ini atau jga dikenali di dalam bahasa arab sebagai simsar diharuskan oleh para ulama kerana ia tidak bercanggah dengan mana-mana dasar hukum Syarak. Ia adalah persetujuan antara seorang tengah atau broker dengan pelanggan di satu pihak dan pengusaha atau pembekal di pihak yang lain. Persetujuan simsar ini diperoleh dengan sukarela dari pihak-pihak terlibat dan orang tengah tersebut menerima bayaran upah daripada usahanya mencari pelanggan atau mencari pembekal atau pengusaha. Persetujuan ini penting terutama daripada pihak yang membuat bayaran komisyen, manakala pihak yang lain tidak perlu dimaklumkan urusan ini, sungguhpun dalam konteks retakaful atau reinsurans adalah digalakan peserta dimaklumkan mengenai urusan berkenaan. Oleh yang demikian dari segi akadnya amalan simsar ini berasaskan kepada ujr (upah) dan perwakilan (wakalah). Begitu juga jika ia menyimpan barang-barang pembekal maka berlaku hubungan amanah yang berasaskan akad wadi‘ah. Oleh yang demikian dari segi hukumnya amalan menerima komisyen ini adalah harus. Oleh yang demikian jika diaplikasikan prinsip simsar ini kepada amalan retakaful dalam konteks bayaran komisyen maka syarikat takaful adalah menjadi orang tengah di antara peserta dan syarikat reinsurans. Oleh kerana bayaran dibuat oleh syarikat insurans, maka persetujuan daripadanya adalah penting sekali untuk menjadikan bayaran ini sah.

Dari segi amalan reinsurans, tujuan bayaran komisyen ini dibuat adalah kerana kesediaan syarikat takaful menyerahkan premium mereka dan sebagai balasan kepada usaha dan prestasi syarikat takaful menguruskan premium tersebut. Bayaran tersebut juga sebagai insentif dan bonus kepada amalan underwriting yang cermat dan berhati-hati. Tujuan-tujuan ini tidaklah bercanggah dengan hukum Syarak. Sungguhpun demikian sesetengah penulis telah menimbulkan beberapa keraguan mengenai kesahihan penerimaan bayaran komisyen ini, terutama dari segi asas kaedah pengiraan kadar bayarannya yang dikatakan mempunyai unsur ribawi dan gharar sebagaimana yang telah saya sentuh sepintas lalu di atas. Secara ditilnya keraguan ini berpunca daripada alasan bahawa bayaran komisyen yang diterima itu adalah bersifat sebagai suatu bentuk balasan dan ini menghilangkan elemen tabarru‘ akad takaful berkenaan. Apatah lagi bayaran tersebut dikatakan tidak berasaskan kepada kos sebenar pengurusan pemium tersebut dan syarikat takaful hanya bertindak sebagai agen kepada syarikat insurans di mana kos pengurusan ditanggung oleh syarikat takaful sendiri. Ini mengikut sesetengah pengkaji melibatkan ketidak jelasan kerana kos pengurusan premium adalah tinggi dan adalah wajar bagi syarikat reinsurans untuk sama-sama menanggung kos tersebut. Apatah lagi kos pengurusan itu sebenarnya ditanggung oleh peserta. Oleh yang demikian dicadangkan supaya kaedah bayaran komisyen diabaikan dan kedua-dua pihak menggunakan bayaran bersih premium (net premium basis) untuk mengelak ketidakjelasan ini. Begitu juga dicadangkan supaya peserta juga dimaklumkan mengenai kos-kos yang terlibat termasuk kos pengurusan yang melibatkan reinsurans.

Seterusnya juga dikatakan bayaran komisyen ini sebagaimana yang dinyatakan diatas berasaskan kepada pra pengiraan atau anggaran kepada peratusan premium yang diserahkan kepada syarikat insurans yang akan dibayar kepada risiko yang dilindungi. Keraguan kepada kaedah bayaran ini ialah di mana syarikat takaful menerima bayaran sedangkan dalam pada masa yang sama ia tidak berkongsi dengan kerugian yang dialami oleh syarikat reinsurans. Keadaan ini mengikut mereka yang meragui bayaran komisyen adalah bercanggahan dengan kaedah fiqh al-kharaj bi al-daman iaitu keuntungan hendaklah bersama dengan risiko kerugian. Atas alasan ini mereka juga menolak hujah yang menyatakan bayaran komisyen ini berasaskan kepada akad mudarabah kerana syarikat takaful tidak menanggung apa-apa kos kerugian syarikat reinsurans. Berasaskan kepada hujah-hujah ini, mereka membuat kesimpulan bahawa alasan bayaran komisyen ini sebagai insentif atau balasan kepada pengurusan yang cekap dan berhati adalah tidak tepat dan mengelirukan. Ia adalah hanya satu alasan untuk menghalalakan pembayaran faedah atau riba (ibid, h.352).

Pandangan di atas ternyata agak keras dalam menentang penerimaan bayaran komisyen. Sungguhpun demikian saya berpendapat sebagaimana yang dinyatakan di atas, kritikan ini diberikan kepada kaedah yang digunakan bagi menentukan kadar bayaran dan bukan kepada prinsip asas penerimaan bayaran komisyen yang diakui sah oleh para ulama. Dari segi akad atau kontrak berlaku persetujuan yang sah antara syarikat takaful dan syarikat reinsurans untuk berkerjasama dan oleh kerana syarikat takaful berjaya membawa “business” atau pelanggan kepada syarikat insurans tersebut maka ia akan diberi sedikit bayaran upah. Ini adalah jelas bagi saya. Bagaimana hendak menentukan bayaran itu adalah berasaskan kepada pelbagai kaedah. Lazimnya dalam mana-mana institusi kewangan Islam yang ada pada hari ini sama ada yang melibatkan produk perbankan atau sukuk kaedah keuntungan adalah berasaskan kepada amalan yang terdapat dalam sistem konvensional seperti KLIBOR, LIBOR, BLR dan sebagainya sebagai panduan. Bagi saya penentuan kadar bayaran komisyen reinsurans ini sama sahaja seperti yang berlaku dalam perbankan dan sukuk.

Keraguan bahawa bayaran ini bercanggah dengan kaedah al-kharai bi al-daman tidak dapat diterima kerana perhubungan antara syarikat takaful and reinsurans setakat bayaran komisyen ini berkenaan adalah melibatkan upah kepada syarikat takaful membawa perniagaan kepada syarikat insurans. Mungkin boleh dipersoal percanggahan kaedah ini dengan prinsip takaful yang lebih meluas semasa menilai tujuan kerjasama ini diadakan. Namun kerugian syarikat reinsurans, bukanlah tanggungan syarikat takaful kerana ia tidak terlibat dalam pelaburan dan pengurusan syarikat reinsurans berkenaan. Begitu juga kerugian syarikat reinsurans malah syarikat takaful sendiri tidak boleh menggugat perlindungan yang dijanjikan kepada peserta takaful.

Persoalan seterusnya yang ditanya oleh sesetengah syarikat Takaful ialah siapa pemilik bayaran komisyen ini? Apakah ia milik pemegang saham syarikat Takaful atau apakah ia milik peserta atau milik kedua-duanya. Perkara ini boleh dilihat dari pelbagai perspektif sama ada asas kontrak atau pengeluaran modal. Sudah tentu premium yang diserahkan kepada syarikat reinsurans ini adalah sumbangan peserta dan diuruskan oleh syarikat Takaful. Berasaskan kepada keadaan ini saya berpandangan bayaran komisyen sepatutnya dikongsi secara bersma oleh syarikat dan peserta. Dari perspektif peserta sama ada bayaran komisyen tersebut dilaburkan semula ke tabung tabarru‘ atau pelaburan juga bergantung bagaimana bayaran premium diserahkan kepada syarikat reinsurans. Jika melibatkan kedua-dua tabong maka seharus keduanya mendapat manfaat daripada bayaran komisyen tersebut. Saya tidak pasti dari segi kelancaran dan kemudahan untuk melaksanakan cadangan-cadangan ini, namun jika melibatkan kesukaran dan tambahan kos maka persetujuan peserta boleh diminta semasa akad permulaan takaful bagi membenarkan syarikat membayar manfaat komisyen tersebut hanya ke dalam tabung tabarru‘.

Sungguhpun, takaful semula dengan syarikat insurans konvensional dibolehkan atas dasar darurah sebagaimana yang dibincangkan di atas, keputusan persidangan Majma‘ al-Fiqh al-Islami, OIC mencadangkan supaya kerjasama dalam bentuk retakaful ini diadakan dalam bentuk syarikat kerjasama atau cooperative retakaful antara syarikat-syarikat takaful. Kaedah-kaedah pelaksanaan yang dicadangkan bagi penubuhan (ibid, h.340):

1. Semua syarikat Takaful membuat sumbangan kepada tabung retakaful
2. Bayaran ini hendaklah selaras dengan risiko yang ditentukan bag setiap syarikat takaful. Bayaran boleh dibuat secara pendahuluan atau secara janji (pledge)
3. Bayaran yang diterima akan diuruskan oleh pengurus melalui pelaburan dan sebagainya
4. Bagi yang membuat bayaran secara janji dikehendaki membuat bayaran apabila berlakunya pembayaran faedah takaful

Mungkin ada di antara kaedah pelaksanaan seperti di atas tidak praktikal atau rumit untuk dilaksanakan terutama pembayaran dalam bentuk janji. Sungguhpun demikian ini adalah hanya cadangan.

Sekian, wa Allah A‘lam Bi al-Sawab.

No comments: