Wednesday, March 10, 2010

Pertolongan Allah

Kita sering kali bertanya,kenapa apa yang dirancang tidak mencapai seperti yang diinginkan atau susah untuk dicapai atau telah tercapai tetapi masih belum memenuhi kehendak. Muhasabah yang menyeluruh perlu dalam keadaan ini. Seseorang muslim itu hendaklah sentiasa positif dan optimis dalam hidupnya serta perlu memahami akhlak yang perlu wujud. Diantara akhlak yang perlu ada dan dihayati oleh seseorang itu apabila berdepan dengan situasi diatas ialah:

a) Tidak berburuk sangka terhadap Allah
b) Tidak berputus asa
c) Membuat muhasabah
d) Bersedia dengan membuat perancangan semula

Kita juga perlu faham bagaimana Allah mengurniakan sesuatu ni’mat kepada hambaNya agar kita sentiasa bermotivasi. Diantaranya ialah:

a) Allah mengurniakan ni’mat kepada sesiapa yang dikehendakiNya
b) Mengurniakan rezeki/ni’mat sama seperti yang diminta oleh hambaNya
c) Mengurniakan tidak sama seperti yang diminta diatas hikmah tertentu
d) Mengurniakan ni’mat dalam bentuk terselamat dari musibah
e) Menangguhkan pemberiannya dan diberikan di akhirat

Jika dilihat kepada gerak kerja atau target sesuatu perancangan, secara logik kekuatan manusia biasa mustahil untuk menggapainya. Ini sudah pasti kita berhajatkan kepada kekuatan lain. Diantara kekuatan lain yang perlu dalam kontek kita sebagai seorang muslim ialah bantuan dan pertolongan Allah Taala.

Apabila telah datang bantuan Allah dan pertolonganNya maka tiada satu kuasa pun yang boleh menghalang. Persoalannya,bagaimana hendak mendapat bantuan Allah? Diantara rahsia bagaimana hendak mendapat bantuanNya ialah menerusi ketaqwaan yang mantap kepadaNya.

Meneliti ayat-ayat berikut Surah Al Talaq : 2-3, Surah Al A’araf : 97, Surah Al Jasiyah: 19 dan Surah Al Maidah : 27 menjelaskan dengan memiliki taqwa Allah menurunkan bantuannya dalam bentuk dilepaskan daripada kesusahan,mendapat rezeki yang tidak terduga, kerja/urusan dipermudahkan, diberi pembelaan dan yang paling penting amalan yang berteraskan taqwa akan diterima oleh Allah Taala.

Disamping itu dengan membanyakkan Istighfar adalah diantara sebab untuk mendapat perhatian daripada Allah Taala seperti yang disebut dalam surah Nuh : 10-12. Perlu diingat juga untuk mendapatkan bantuan Allah juga perlu menjauhi maksiat dalam semua keadaan dan bentuk. Hal ini disabdakan oleh Rasulullah s.a.w bahawa “Sesungguhnya seseorang lelaki itu disekat rezeki dengan sebab dosa yang dilakukannya” (HR Ibn Majah). Dan apapun sebagai manusia,makhluk yang lemah tidak boleh meninggalkan doa. Hendaklah sentiasa berdoa dan meminta bantuan daripada Allah Taala. Dengan berdoa kita bukan sahaja beribadah menerusinya tetapi satu perakuan ikhlas betapa kita ini lemah dan sangat berharap kepada bantuan dan pertolongan Allah.

Sunday, February 21, 2010

ZAKAT SEBAGAI INSTRUMEN PENYUCIAN JIWA DAN HARTA

Oleh : Wan Jemizan W. Deraman

Konsep Harta dalam Islam

Islam adalah merupakan agama yang syumul, merangkumi segala aspek yang berkaitan dengan kehidupan manusia sejagat. Umat Islam perlu menerima Islam secara keseluruhannya tanpa memilih-milih. Salah satu dari komponen yang berada di bawah naungan Islam adalah persoalan harta. Islam secara asasnya tidak melarang umatnya dari mendapatkan harta sebanyak mungkin. Namun, dua perkara yang perlu dititikberatkan berkaitan dengan harta adalah;

1- Sumber pengambilan harta
2- Pengurusan dan perbelanjaan harta

Rasulullah SAW menggambarkan betapa pentingnya umat Islam perlu menitikberatkan persoalan ini kerana ia bakal ditanya oleh Allah SWT di akhirat kelak. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud ;

”Tidak akan terlepas dua kaki anak Adam di akhirat di hadapan Allah SWT, kecuali setelah ditanya lima perkara; Tentang umurnya di mana ia habiskannya, tentang kepemudaan dan kepemudiannya di mana digunakan, dan tentang hartanya dari mana datangnya dan ke mana dibelanjakannya, dan apakah dan apakah yang dilakukan dengan ilmunya”.
(Riwayat At-Tirmidzi)

Islam menganggap harta adalah merupakan pemberian oleh Allah SWT kepada manusia sebagai pinjaman. Justeru, tidak sepatutnya bagi umat Islam menguruskan hartanya sewenang-wenang sehingga membatasi prinsip dan kehendak Syariah. Antara perkara yang menjadi kewajipan kepada umat Islam dalam menguruskan hartanya adalah pembayaran zakat.
Zakat dan Kepentingannya

Perkataan zakat memberi maksud menyuburkan, membersihkan dan memperbaiki. Sebenarnya, melalui kefahaman terhadap maksud sebenar dari perkataan zakat ini sudah memberikan gambaran yang jelas tentang tujuan-tujuan di sebalik pensyariatan zakat ini. Fungsi utama kepada pensyariatan zakat kepada umat Islam adalah bagi menyucikan dan membersihkan harta. Ia dijelaskan dalam firman Allah SWT yang bermaksud;

”Ambillah zakat dari sebahagian harta mereka, dengan zakat itu kamu membersihkan dan mensucikan”.
(Surah At-Taubah: 103)

Proses pembersihan dan penyucian ini sebenarnya boleh berlaku terhadap dua unsur. Yang pertama, penyucian terhadap jiwa dan hati individu yang membayar zakat. Zakat membersihkan jiwa seorang Muslim yang mengeluarkan zakat dari sifat bakhil, tamak dan sombong. Melalui pembayaran zakat, seorang Muslim dapat menyuburkan rasa kasihan belas terhadap mereka yang memerlukan. Pada waktu yang sama, ia dapat menghakis sifat pentingkan diri sendiri sehingga mengenepikan kepentingan orang lain untuk menikmati pemberian Allah SWT.

Seseorang Muslim sepatutnya mengenali keluarganya, saudara-maranya atau jiran tetangganya supaya bantuan zakat dapat diberikan sekiranya mereka berada dalam kesempitan. Allah SWT menyukai orang-orang yang tidak meminta-minta dan menyembunyikan keperitan yang dialami dari pengetahuan umum. Firman Allah SWT bermaksud;

”Dan pada harta-harta mereka ada hak untuk orang-orang yang miskin yang meminta dan orang miskin yang tidak meminta”.

(Surah Az-Zariyaat: 19)

Ini secara tidak langsung akan mengeratkan ukhuwah di kalangan umat Islam. Apabila individu Muslim membayar zakat, maka ia akan membantu kehidupan mereka yang memerlukan. Sekiranya sistem zakat ini dapat berfungsi dengan baik, akhirnya ia akan merapatkan jurang di antara golongan kaya dan golongan miskin. Harta yang dikurniakan oleh Allah SWT sebenarnya mempunyai peruntukan untuk golongan yang memerlukan supaya harta tersebut tidak hanya dapat dinikmati oleh golongan yang kaya sahaja. Firman Allah SWT yang bermaksud;

”..... Supaya harta itu jangan beredar di antara orang-orang kaya sahaja di kalangan kamu”.
(Surah al-Hasyr: 7)

Golongan miskin apabila mendapat pertolongan dan bantuan ini akan berterima kasih kepada golongan yang kaya. Ini dapat mengikis sebarang perasaan negatif seperti iri hati dan dengki dalam hati golongan miskin. Sekaligus, ia boleh menurunkan graf jenayah seperti rompakan, kecurian dan ragut dalam masyarakat Islam hari ini.

Dalam Islam, sebahagian harta yang dimiliki oleh golongan kaya adalah hak orang-orang miskin. Dengan kata lain, apabila pembayaran zakat dilaksanakan, sebenarnya individu tersebut tidak menyumbangkan apa-apa kepada golongan miskin. Sebaliknya, dia hanya menyerahkan kembali hak golongan miskin tersebut dari hartanya. Oleh itu, golongan kaya tidak perlu merasa megah atau bangga kerana memulangkan sesuatu yang memang sudah menjadi hak kepunyaan orang lain. Sh. Muhammad Ashraf dalam bukunya Lessons in Islam telah menulis:

”Rasulullah SAW telah menggambarkan bahawa zakat sebagai wang yang diambil daripada orang-orng kaya yang dikembalikan kepada orang-orang miskin. Oleh itu, matlamatnya ialah untuk mengagihkan kekayaan masyarakat dengan cara yang membolehkan tidak ada umat Islam yang tinggal dalam kemiskinan (dan penderitaan).” (Doktrin Ekonomi Islam, Afzal-ul-Rahman, terjemahan Zaharah Salleh, jilid III, m/s 185).
Unsur kedua yang dibersihkan dari pengaplikasian zakat adalah harta. Harta yang digunakan secara tidak sedar mungkin bercampur dengan perkara haram atau syubhat. Sekiranya ia berlaku, maka harta yang dimiliki oleh individu tersebut akan hilang keberkatannya. Justeru, cara bagi menghakis perkara-perkara seumpama ini, individu Muslim perlu menunaikan zakat. Apabila harta itu mempunyai keberkatan, ia akan dipelihara Allah SWT dan akan sentiasa disuburkan rezeki kepada pemberi zakat.

Pembayaran zakat adalah manifestasi ketaatan terhadap Allah SWT. Tidak dinafikan bahawa setiap individu menyayangi harta yang diusahakannya. Apabila seseorang itu membayar zakat, dia telah akur dan tunduk kepada arahan Allah SWT walaupun dia menyayangi harta tersebut. Justeru, sebagai imbal balik kepada sumbangan yang telah diberikan, Allah SWT yang Maha Kaya melipatgandakan balasan kepada mereka yang membayar zakat pada jalan Allah SWT. Firman Allah SWT:

“Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakiNya dan Allah Maha Luas (rahmat) kurniaNya, lagi Meliputi ilmu pengetahuanNya”
(Surah al-Baqarah : 261)

Pungutan dan Pembahagian Zakat

Allah SWT mentaklifkan kewajipan zakat hanya kepada harta yang telah memenuhi syarat-syaratnya. Harta yang berada di tangan pemilik hanya dikenakan zakat sekiranya mencapai usia satu tahun (haul) dan melebihi had pengecualian (nisab). Zakat dikenakan kepada semua jenis harta mengikut kadar 2.5%. Ini bermakna, kewajipan zakat hanya dikenakan kepada mereka yang benar-benar berkemampuan dan ia tidak membebankan pembayar zakat tersebut.

Mereka yang berhak ke atas pembahagian zakat disebut sebagai asnaf zakat. Asnaf telah ditetapkan kepada lapan golongan sahaja. Namun begitu, terdapat beberapa kriteria tertentu yang perlu dipenuhi untuk melayakkan mereka tergolong sebagai penerima zakat. Perkara ini perlu untuk mengelakkan pembahagian zakat secara tidak adil atau berlakunya eksploitasi. Asnaf-asnaf zakat secara jelas dinyatakan oleh Allah SWT dalam firmanNya yang bermaksud:

”Sesungguhnya sedekah-sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orang-orang fakir, dan orang-orang miskin, dan amil-amil yang menguruskannya, dan orang-orang mualaf yang dijinakkan hatinya, dan untuk hamba-hamba yang memerdekakan dirinya, dan orang-orang yang berhutang, dan untuk (dibelanjakan pada) jalan Allah, dan orang-orang musafir (yang terputus bekalan) dalam perjalanan. (Ketetapan hukum yang demikian itu ialah) sebagai satu ketetapan (yang datangnya daripada Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.”
(Surah At-Taubah: 60)

Kesimpulan

Umat Islam perlu melihat zakat sebagai satu instrumen penting untuk penyucian harta. Instrumen ini perlu ditambah nilai agar ia dapat berfungsi secara sistematik dan tersusun. Kesannya, semua pihak akan dapat menggerakkan ekonomi masing-masing termasuklah golongan fakir dan miskin yang mendapat suntikan modal untuk menerus dan membangunkan kehidupan mereka.

Sesungguhnya Allah SWT Maha Mengetahui apa yang diperlukan oleh manusia sebagai makhluknya. Justeru, Allah SWT menurunkan syariat sebagai garis panduan yang perlu dipatuhi. Sekiranya syariat ini gagal diikuti, ia akan menyebabkan kehidupan individu dan masyarakat Islam tidak harmoni dan huru-hara. Antara tujuan pensyariatan (maqasid syariah) adalah untuk menjaga harta (hifz mal). Antara hukum Allah SWT yang berkaitan dengan pemeliharaan dan penjagaan harta adalah kewajipan zakat.

Tuesday, February 2, 2010

Hibah dan Pelaksanaannya dalam Kontek Operasi Takaful
Oleh: Wan Jemizan W.Deraman

Hibah secara asasnya bermaksud pemberian, sedekah atau hadiah melibatkan akad yang mengandungi pemberian hak milik oleh pemilik harta kepada seseorang secara suka rela semasa hayatnya atas dasar kasih sayang tanpa mengharapkan balasan (’iwad).

Hibah adalah diharuskan sebagaimana yang dinyatakan dalam ayat 177, Surah Al-Baqarah yang bermaksud:
”Bukanlah suatu kebajikan itu kamu menghadapkan muka ke Timur dan Barat, tetapi kebajikan itu ialah berimannya seseorang kepada Allah, dan hari akhirat, segala malaikat, segala Kitab, dan sekalian Nabi; dan mendermakan harta yang dicintainya kepada kerabatnya, anak-anak yatim, orang miskin, orang yang musafir, orang yang meminta-minta, orang yang memerdekakan hamba abdi; orang mendirikan sembahyang, serta mengeluarkan zakat, dan perbuatan orang yang menyempurnakan janjinya apabila mereka berjanji orang yang sabar dalam masa kesempitan, dan kesakitan, dan dalam peperangan. Mereka itulah orang yang benar; dan mereka itulah juga orang yang bertakwa”.

Selain itu, terdapat hadith berkaitan urusan hibah ini. Sabda Rasulullah s.a.w.:

“Berilah hadiah, kamu akan berkasih sayang”.

(Riwayat al-Bukhari)

Namun begitu, apabila seseorang telah menghibahkan hartanya kepada individu yang lain, dia tidak boleh menarik semula atau membatalkan hibah tersebut kecuali dalam situasi seorang bapa menghibahkan harta kepada anaknya atau datuk kepada cucunya. Rasulullah s.a.w. telah bersabda:

Orang yang mengambil balik hibahnya seperti orang yang menjilat kembali muntahnya”.
(Riwayat Al-Nasa’i)

Sabda Baginda s.a.w. lagi:

“Seseorang tidak boleh meminta balik hibahnya melainkan hibah bapa terhadap anaknya”.
(Riwayat Al-Nasa’i)

Setiap kontrak dalam Islam mempunyai rukun-rukun dan syarat-syarat yang mesti dipatuhi , begitu juga dengan hibah. Akad hibah tidak akan wujud melainkan setelah rukun-rukun dan syarat-syaratnya dipenuhi. Rukun-rukun bagi hibah ialah pemberi hibah (al-wahib), penerima hibah (al-mauhub lahu), benda yang dihibahkan (al-mauhub) dan sighah (penawaran dan penerimaan atau ijab dan qabul).

Syarat- syarat sah pemberi ialah pemberi merupakan pemilik yang sah ke atas harta yang ingin dihibahkan,tidak dihalang oleh sesuatu perkara. Pemberi juga merupakan seorang yang telah baligh dan hibah atau pemberian yang dibuat perlulah dibuat secara suka rela dan tanpa paksaan. Jika pemberi dipaksa untuk menghibah atau menghadiahkan hartanya kepada orang lain, secara automatik hibah tersebut adalah terbatal.

Selain itu, syarat-syarat penerima pula ialah penerima perlu wujud semasa proses hibah atau kontrak dijalankan. Manakala syarat-syarat bagi barang yang ingin dihibahkan ialah ia mesti wujud semasa berlakunya akad hibah, halal, mempunyai nilai dan dimiliki oleh pemberi hibah. Penerima hibah tidak boleh menghibahkan barang yang menjadi milik orang lain. Contohnya; Ali menghibahkan pen Ahmad kepada Abu. Hibah tersebut adalah tidak sah kerana pen tersebut adalah dimiliki oleh Ahmad dan bukan kepunyaan Ali.
Apabila sesuatu akad hibah memenuhi rukun-rukun dan syarat-syaratnya serta berlaku penyerahan dan pemberian barang itu (al-qabd), maka harta itu menjadi milik si penerima hibah. Jika al-qabd tidak berlaku, maka akad hibah tidak sah dan pemberi hibah berhak menarik balik hibah itu selama mana harta masih berada dalam miliknya.
Hibah diadaptasi sebagai konsep tambahan kepada produk-produk takaful dan diamalkan oleh kebanyakan Pengendali Takaful seperti produk Pelan Pendidikan oleh Takaful Ikhlas Sdn Bhd. Produk ini hanya ditawarkan kepada ibubapa yang mempunyai anak di mana ibu atau bapa akan bertindak sebagai pembayar sumbangan (pemberi hibah) dan anaknya merupakan peserta takaful (penerima hibah). Hibah seperti ini diharuskan kerana semua rukun dan syarat dapat dipenuhi.
Selain itu, Pengendali Takaful melalui pengurusan Tabung Tabarruc akan menghibahkan sesuatu kepada peserta sebagai ganjaran di atas kejayaan tertentu yang dicapai oleh peserta. Hibah jenis ini juga jelas dan tidak bercanggah dengan prinsip-prinsip syarac kerana semua rukun dan syarat dapat dipenuhi.

Berkaitan hibah manfaat takaful kepada penama yang dinamakan didalam borang penerima manfaat, para ilmuwan berselisih pendapat berkaitan beberapa isu yang ditimbulkan daripada amalan ini antaranya ialah hibah seharusnya dilakukan semasa hidup, akan tetapi hibah manfaat takaful akan hanya berkuatkuasa setelah peserta takaful meninggal dunia. Status manfaat takaful juga masih dipertikaikan samada ia adalah harta si mati atau tidak. Dan jika ia adalah harta, adakah ia perlu dibahagi-bahagikan kepada ahli waris mengikut hukum faraid atau hibah yang dibuat itu sudah memadai untuk dilaksanakan.

Majlis Penasihat Syariah Bank Negara Malaysia (BNM) dalam mesyuaratnya yang ke 34 bertarikh 21 April 2003 / 19 Safar 1424, telah membuat keputusan mengenai aplikasi konsep hibah bagi pembahagian manfaat Takaful.:
1. Manfaat Takaful boleh dihibahkan kerana ia merupakan hak para peserta. Justeru, para peserta mesti dibenarkan untuk melaksanakan hak-hak mereka berdasarkan pilihan mereka selagi mana ia tidak bertentangan dengan Syariah;
2. Status hibah yang digunakan dalam pelan Takaful tidak akan berubah menjadi wasiat, kerana jenis hibah yang digunakan ialah hibah bersyarat dimana hibah yang dibuat ialah tawaran kepada penerima untuk tempoh masa yang tertentu. Dalam konteks Takaful, manfaat Takaful dikaitkan dengan kematian peserta dan tempoh matang sijil. Jika peserta masih hidup semasa tempoh matang sijil, manfaat Takaful akan dimiliki oleh peserta. Akan tetapi, jika peserta meninggal dunia sebelum tempoh matang, maka hibah akan berkuatkuasa;
3. Peserta mempunyai hak untuk membatalkan hibah yang dibuat sebelum tempoh matang sijil, kerana hibah bersyarat hanya sempurna selepas berlakunya penyerahan (qabdh);
4. Peserta mempunyai hak untuk membatalkan hibah yang dibuat kepada seseorang individu dan menyerahkan barang yang ingin dihibahkan itu kepada orang lain atau membatalkan penyertaan dalam Takaful, jika penerimanya mati sebelum tempoh matang; dan
5. Borang penamaan Takaful perlu diselaras dan dinyatakan dengan jelas status penama samada sebagai benefisiari atau pemegang amanah (wasi). Sebarang masalah berkaitan pembahagian manfaat Takaful mestilah dirujuk kepada kontrak yang telah dimeterai.
Bagi produk-produk Takaful Keluarga yang ditawarkan oleh Takaful IKHLAS, pihak syarikat menyediakan borang cadangan hibah untuk peserta sekiranya peserta bercadang untuk menghibahkan manfaat takafulnya setelah berlaku kematian peserta. Namun begitu, nama yang dicadang perlulah terdiri samada ibu bapa, pasangan yang sah, anak dan adik beradik. Walau pun hibah secara asasnya boleh diberikan kepada sesiapa sahaja, namun, bagi menjaga dan memelihara kebajikan waris terdekat, pihak syarikat mengkhususkan kategori individu yang ingin dicadangkan sebagai penerima hibah.

Kesan daripada penggunaan akad hibah ialah harta yang telah dihibah terkeluar daripada harta pusaka dan tidak tertakluk kepada pembahagian harta pusaka atau faraid. Selain itu, harta tersebut tidak boleh dituntut oleh ahli waris yang lain.

Melihat kepada keperluan semasa, seharusnya lebih banyak produk-produk yang berasaskan konsep hibah dihasilkan. Ia bagi menjadikan produk-produk tersebut lebih kompetitif dan mampu menandingi produk-produk yang ditawarkan oleh syarikat insurans konvensional. Justeru, pengendali-pengendali Takaful seharusnya mempergiatkan usaha penyelidikan dan pembangunan bagi menghasilkan produk-produk yang bukan hanya kompetitif, yang paling penting selaras serta selari dengan prinsip-prinsip yang digariskan oleh Syariah.

Wednesday, January 27, 2010

TAKAFUL DAN PELAN PENDIDIKAN

Oleh : Wan Jemizan W. Deraman

Setiap ibu bapa mengharapkan yang terbaik untuk anak-anak mereka samada dari sudut pemakaian,pemakanan, lebih-lebih lagi perkara berkaitan pendidikan mereka. Memiliki pendidikan sempurna adalah antara faktor ke arah membina kehidupan bahagia. Pendidikan merupakan salah satu agenda penting dalam pembangunan negara bagi melahirkan masyarakat yang benar-benar berilmu.
Jika dilihat kepada situasi semasa, ramai di antara pelajar-pelajar yang boleh dikategorikan sebagai cemerlang tidak dapat menyambung pelajaran mereka disebabkan faktor kewangan yang tidak mencukupi dan tidak mendapat bantuan samada berbentuk pinjaman atau biasiswa daripada mana-mana institusi yang menawarkannya seperti Perbadanan Tabung Pengajian Tinggi Nasional (PTPTN), Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan sebagainya. Lebih 30,000 pelajar lepasan SPM dan SPMV yang layak meneruskan pengajian ke Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) tempatan dikhuatiri enggan berbuat demikian ekoran pembiayaan pendidikan yang masih kabur (Utusan Malaysia, 2 Februari 2006).
Pelajar- pelajar ini mengharapkan 100% pinjaman atau biasiswa daripada institusi-institusi yang terlibat, namun disebabkan kegagalan peminjam-peminjam sebelum ini menjelaskan pinjaman pendidikan mereka, menyebabkan generasi pelajar hari ini gagal mendapatkan pinjaman untuk memulakan pengajian.
Ibu bapa sememangnya mempunyai tanggungjawab yang besar bagi memastikan anak-anak mereka mendapat pendidikan yang sepatutnya. Memandangkan kos pendidikan sentiasa meningkat dari setahun ke setahun, ibu bapa perlu merancang kewangan khususnya berkaitan pendidikan sejak daripada awal kelahiran anak mereka agar anak-anak tersebut berupaya memperolehi pendidikan yang sempurna. Apabila ibu bapa mampu merancang, sudah pasti polemik berkaitan pinjaman pendidikan ini tidak timbul lagi.

Sebenarnya, konsep merancang kewangan dan mengurus risiko yang bakal dihadapi terkandung dalam firman Allah yang bermaksud: “Yusuf berkata: “Supaya kamu bertanam tujuh tahun (lamanya) sebagaimana biasa; maka apa yang kamu tuaikan hendaklah kamu biarkan pada tangkainya kecuali sedikit untuk kamu makan. Kemudian sesudah itu akan datang tujuh tahun yang amat sukar, yang menghabiskan apa yang kamu simpan untuk menghadapinya (tahun sukar) kecuali sedikit daripada (biji gandum) yang akan kamu simpan.” (Surah Yusuf: 47 dan 48). Manusia dingatkan supaya sentiasa berwaspada dan bersiap-sedia menabung dalam menghadapi kesusahan yang mendatang khususnya berkaitan pengurusan kewangan. Walaupun sudah 1,400 tahun, konsep demikian masih relevan dengan kehidupan masyarakat Islam hari ini.
Permohonan kemasukan ke IPTA-IPTA seluruh Malaysia meningkat dari tahun ke tahun sedangkan kekosongan yang ada tidak mampu menampung jumlah permohonan yang begitu tinggi. Menurut Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Tinggi, Datuk Dr. Radin Umar Radin Sohadi, sebanyak 139,207 permohonan bagi kemasukan pelajar ke IPTA bagi sesi 2009/2010 telah diterima. Daripada jumlah itu, 71,173 permohonan adalah bagi Program Pengajian Lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan setaraf dengannya, sedangkan kekosongan hanyalah sekitar 28,000 manakala bagi Program Pengajian Lepasan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dan setaraf dengannya termasuk Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM), permohonan yang telah diterima adalah sebanyak 68,034 permohonan dan kekosongan yang ada hanyalah sejumlah 40,500 sahaja (Kenyataan Akhbar , 24 Februari 2009). Berdasarkan Kajian daripada Institut Kajian Pertumbuhan Ekonomi Melayu Malaysia mendapati hampir 120,000 pelajar Melayu lepasan SPM dan STPM gagal mendapat tempat di IPTA pada tahun 2005. Hasil kajian berdasarkan penelitian terhadap statistik Unit Pengambilan Universiti (UPU) itu menunjukkan kumpulan tersebut mempunyai kelayakan yang mencukupi tetapi gagal melanjutkan pengajian ekoran bilangan tempat yang sangat terhad. ( Utusan Malaysia, 13 Julai 2005).
Biar pun statistik ini dikeluarkan pada tahun 2005, namun ia sinonim dengan situasi semasa hari ini di mana saban tahun jumlah permohonan kemasukan ke IPTA meningkat dan melebihi jumlah kekosongan yang ditawarkan oleh pihak IPTA tersebut. Selain itu, bagi tahun ini, pemilihan pelajar-pelajar yang akan melanjutkan pelajaran ke peringkat universiti akan ditentukan melalui sistem meritokrasi. Sebanyak 90 % akan dinilai melalui pencapaian akademik dan selebihnya 10% daripada penglibatan ko-kurikulum mereka.
Jika pelar-pelajar terbabit terdiri daripada pelajar-pelajar yang kurang aktif, sudah pasti peluang mereka amat sukar. Justeru, bagi memastikan anak-anak masih dapat melanjutkan pengajian mereka, tidak mungkin tidak para ibu bapa terpaksa menghantar anak-anak mereka ke Institusi – Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) yang ada didalam dan luar negara. Ini sudah semestinya melibatkan kos yang begitu tinggi.
Perkara lain yang perlu diketahui oleh para ibu dan bapa ialah kos pengajian bagi kursus-kursus yang ditawarkan di IPTA dan IPTS semakin meningkat. Sebagai contoh, bagi kursus undang-undang yang ditawarkan di IPTA, kos pengajian adalah sekitar RM35,000- RM40,000 dan akan meningkat kepada RM70,000 menjelang tahun 2015. Begitu juga bagi kursus-kursus lain seperti perubatan, kejuruteraan dan sebagainya (Berita Harian,2001)
Bagi mengurangkan bebanan ibu bapa yang terpaksa menanggung kos pendidikan yang tinggi, di antara instrumen lain yang boleh dijadikan alternatif kepada pinjaman dan biasiswa pendidikan ialah dengan menyertai pelan takaful. Pengendali-pengendali takaful bukan sahaja menyediakan pelan perlindungan dan pelaburan semata-mata, malah terdapat juga pelan pendidikan supaya ibu bapa dapat menyediakan dana atau tabungan pendidikan untuk anak-anak mereka di masa hadapan nanti. Pelan seperti ini akan dapat membantu pelajar-pelajar meneruskan pendidikan mereka samada menyambung pelajaran di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) atau Institusi Pengajian Tinggi Swasta ( IPTS).
Bagaimanapun, katanya, di Malaysia, masyarakat masih kurang faham tentang kepentingan takaful terutama kesedaran mengenai perlindungan masa depan anak-anak seperti pendidikan. Pelbagai pihak perlu memainkan peranan bagi memastikan keperluan perlindungan pendidikan menjadi satu agenda penting dalam pengurusan kekeluargaan dan diambil berat oleh ibu bapa. Dalam merancang kewangan, ibu bapa perlu mengetahui apa sebenarnya keperluan untuk keluarga mereka dan memastikan keutamaan diberikan kepada keperluan yang benar-benar mendesak seperti keperluan pendidikan anak-anak. Sekiranya ibu bapa peka dengan keperluan dan kehendak pendidikan semasa, sudah pasti mereka akan merancang kewangan dan perbelanjaan serta mengambil pelan takaful pendidikan untuk dana pendidikan anak-anak mereka pada masa akan datang.
Contoh produk untuk tabungan pendidikan yang ditawarkan di pasaran ialah Ikhlas Education Takaful Classic (IET) , iaitu merupakan produk milik Takaful Ikhlas Sdn. Bhd.
Manfaat-manfaat yang ditawarkan oleh IETC ialah Manfaat Kematian & Kehilangan Upaya Kekal dan Menyeluruh (TPD), kematangan , pengeluaran wang tunai (mengikut syarat yang telah ditetapkan), penambahan kadar sumbangan dan juga Anugerah Pencapaian Cemerlang. Bagi peserta yang anak-anaknya mendapat keputusan cemerlang dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Manfaat anugerah adalah RM100 untuk setiap markah A yang dicapai di dalam semua matapelajaran UPSR (minimum 5A), PMR (minimum 7A) atau SPM/SPVM (minimum 7A).
Pengendali-pengendali takaful yang lain juga ada menawarkan produk-produk pendidikan seumpama ini. Jadi, tidak ada alasan bagi ibu bapa untuk menyediakan dana pendidikan anak-anak mereka seawal yang mungkin.
Imam Al-Ghazali Rahimahullah pernah menyebut, “Sesungguhnya anak-anak kita adalah permata”. Jadi tugas kita selaku ibu bapa ialah menggilap permata-permata ini agar sentiasa bersinar dengan memberikan pendidikan yang sepatutnya kepada mereka. Jika anak-anak ditinggalkan dengan dana pendidikan yang mencukupi, sudah pasti mereka akan dapat meneruskan pengajian dan meningkatkan lagi tahap pendidikan di Malaysia ini. Selain itu, matlamat melahirkan insan yang berilmu pengetahuan sebagaimana yang dinyatakan didalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan dapat direalisasikan.
Sebagai akhirnya, renungkanlah sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari : “Tinggalkan anak dan isteri dengan kesenangan lebih baik dari tinggalkan mereka dalam keadaan meminta-minta.”