Monday, November 23, 2009

Keindahan Konsep Tabarru' (Bersedekah) dalam Aplikasi Takaful

Keindahan Konsep Tabarru' (Bersedekah) dalam Aplikasi Takaful

Sesungguhnya Islam adalah agama yang sangat sempurna. Segala sistem dan peraturannya adalah untuk kebaikan dan kemaslahatan hidup manusia. Peraturan-peraturan Islam selari dengan fitrah kejadian manusia. Secara fitrahnya manusia sangat sukakan harta, maka Islam telah meletakkan panduan yang jelas kepada manusia dalam hal-hal berkaitan harta agar harta tersebut memberikan kebaikan kepadanya.Dalam Islam, manusia tidak memiliki harta tersebut secara mutlak, bahkan harta tersebut adalah sebagai amanah Allah untuk diatur dan disalurkan dengan cara yang diredhaiNya.

Begitu juga dalam soal pengurusan hidup yang berkaitan dengan perlindungan dan pengurusan risiko.Islam telah menyediakan kaedah penyelesaian yang bukan sahaja praktikal malah dapat memberikan kebaikan di dunia dan juga di akhirat. Sebagai agama yang praktikal, Islam telah memberikan solusi kepada pelaksanaan Sistem Insurans yang selari dengan prinsip Syariah Islam. Kontrak Tabarru’ telah diperkenalkan sebagai asas kepada sistem takaful dimana kontrak berkenaan adalah lebih praktikal dan selamat dalam mengatur-urus sistem insurans yang pada tujuan asalnya adalah dianggap baik. Perbahasan yang ingin diketengahkan pada ruangan kali ini adalah berkaitan dengan Konsep Tabarru' itu sendiri dan mengapa ianya dipilih sebagai kontrak yang selamat pada pandangan Islam dalam menjalankan aktiviti dan transaksi Insurans.

Tabarru' bermaksud suatu bentuk derma Ikhlas yang diberikan oleh satu pihak sahaja dengan tidak meminta pertukaran atau balasan daripada pihak yang lain. Ia dikategorikan sebagai kontrak satu pihak (unilateral) dimana cukup dengan hanya satu pihak sahaja yang melafazkan sesuatu pemberian tanpa ada sebarang pertukaran.

Tabarru’ adalah diantara amalan soleh yang sangat digalakkan oleh Islam. Disamping sedekah wajib yang dikenali sebagai zakat, amalan-amalan sedekah sunnat ini mempunyai kedudukan yang sangat tinggi di sisi Islam. Islam menggalakkan semangat tolong-menolong dan berkasih sayang diantara satu sama lain, justeru amalan bersedekah atau tabarru’ ini sangat tinggi nilainya di sisi Islam kerana ianya adalah asas kepada wujudnya masyarakat yang harmoni dan sejahtera. Oleh kerana itulah banyak dalil yang menyokong perkara ini,antaranya maksud firmanullah s.w.t. "Wahai orang-orang yang beriman! Nafkahkanlah (dermakanlah) sebahagian dari apa yang telah Kami berikan kepada kamu, sebelum tibanya hari (kiamat) yang tidak ada jual beli padanya dan tidak ada kawan teman (yang memberi manfaat), serta tidak ada pula pertolongan syafaat. Dan orang-orang kafir, mereka itulah orang-orang yang zalim." (Surah al-Baqarah:254)

Rasulullah s.a.w juga menegaskan dalam banyak sabda Baginda akan galakan dan keperluan melakukan sedakah atau tabarru’ antaranya Daripada Rasulullah s.a.w. telah dengan sabdanya : Firman Allah s.w.t.: Belanjakanlah (hartamu) wahai anak Adam, nescaya kamu akan diinfaqkan (oleh Allah s.w.t.) (Muttafaq ‘alaih) dan Daripada Rasulullah s.a.w. dengan sabdanya: Apabila matinya anak Adam, maka akan terputuslah amalannya melainkan dengan 3 perkara: Sedekah yang berterusan, ataupun ilmu yang memberikan manfaat, ataupun anak yang soleh yang berdoa kepadanya. (Riwayat Muslim

Dalam takaful, setiap peserta yang menyertai mana-mana produknya samada produk-produk takaful keluarga mahupun takaful am akan memperuntukkan sebahagian atau keseluruhan daripada sumbangannya (premium) ke dalam satu tabung. Tabung tersebut dinamakan sebagai Tabung Risiko yang menempatkan derma terkumpul para peserta. Fungsi dana di dalam tabung tersebut ialah sebagai bantuan kepada mana-mana peserta yang ditimpa musibah.

Sebagai contoh, di bawah Model Takaful Ikhlas, setiap peserta telah berjanji untuk melakukan derma secara bulanan (al Iltizam bi al Tabarru’) ke dalam Tabung Risiko. Di bawah model ini, sumbangan peserta akan ditempatkan ke dalam satu akaun sebagai contoh Akaun Pelaburan Risiko Peribadi (PRIA) yang berupa milik peserta. Pihak peserta yang telah berjanji untuk melakukan derma tadi, membenarkan Takaful Ikhlas mengambil sejumlah tertentu daripada PRIA iaitu jumlah yang diperlukan untuk membantu peserta-peserta yang ditimpa musibah pada bulan berkenaan untuk di dermakan (drip) setiap bulan ke dalam Tabung Risiko. Setiap peserta akan saling membantu diantara mereka apabila ada di kalangan mereka yang ditimpa musibah.

Apalikasi Tabarru’ di dalam takaful telah menghapuskan unsur-unsur Gharar,Riba dan Maisir yang kerananya telah menyebabkan insurans konvensional difatwakan haram. Ini kerana Tabarru’ adalah dikategorikan sebagai kontrak satu pihak yang tidak memerlukan sebarang pertukaran atau timbal balas sebagaimana kontrak pertukaran seperti kontrak jual beli yang menentukan adanya pertukaran di antara dua pihak yang berkontrak. Seseorang yang menderma cukup dengan menyerahkan barangan yang didermakan kepada pihak-pihak yang berkenaan, maka kontraknya telah dikira selesai. Tetapi bagi kontrak pertukaran seperti jual beli, kontraknya dikira selesai apabila pembeli menyerahkan wang(harga barang) dan penjual menyerahkan barang yang dijual tersebut,jika tidak kontrak berkenaan dikira tidak sah.

Inilah yang berlaku di dalam transaksi insurans konvensional dimana walaupun pelanggan telah membayar premium (harga) pihak penanggung insurans tidak berupaya menyerahkan barang yang berupa perlindungan, pada kebiasaannya dalam bentuk wang. Ini kerana perlindungan(wang) tersebut hanya boleh diserahkan sekiranya pelanggan berkenaan telah mengalami jenis risiko yang dilindungi seperti sakit jantung, mati, kemalangan dan sebagainya. Semasa membeli insurans seseorang pelanggan berkenaan belum lagi mengidapi musibah-musibah berkenaan, maka sudah pasti pelanggan berkenaan tidak akan mendapat barang yang dibelinya itu yang sepatutnya diserahkan kepadanya pada masa tersebut.

Lagipun, musibah seperti sakit jantung, mati , kemalangan dan sebagainya itu sifatnya tidak diketahui adakah akan berlaku atau pun tidak, maka pelanggan berkenaan tidak pasti samada akan dapat atau tidak. Dalam kontek kontrak jual beli, tidak berupaya menyerahkan barang yang dijual semasa akad dimeterai ia dikira sebagai transaksi yang mengandungi elemen Gharar yang ditegah oleh Rasulullah s.a.w,inilah yang berlaku dalam transaksi insurans konvensional.

Menerusi pelaksanaan Tabarru’ ini yang diikat dengan prinsip Takaful (saling membantu) mewujudkan suasana saling tolong-menolong diantara satu sama lain. Sebagai analogi mudah, Peserta A menderma untuk membantu Peserta B, manakala Peserta B menderma untuk membantu Peserta A, suasana bantu membantu inilah yang dikatakan sebagai “TAKAFUL” dimana peserta saling membantu diantara sesama mereka dan bukannya diantara peserta dengan pihak Syarikat sebagaimana yang berlaku di dalam sistem insurans konvensional. Berdasarkan prinsip-prinsip Tabarru’ sumbangan derma yang telah disumbangkan itu tidak boleh ditarik balik oleh peserta dan sekiranya peserta membatalkan penyertaan di dalam takaful bahagian yang dtelah dimasukkan ke dalam Tabung Risiko tidak akan dipulangkan, walaubagaimanapun peserta berhak mendapat balik baki yang ada di dalam PRIA dalam konteks Takaful Ikhlas.

Justeru, tiada istilah 'wang hangus' dalam keadaan ini sebagaimana yang cuba disalah tafsirkan kerana ianya wang derma yang bakal diganjari pahala yang lumayan oleh Allah Taala. Demikian kerana dalam aplikasi takaful, jika sekiranya tidak berlaku tuntutan ke atas perkara yang dilindungi, sumbangan Tabarru' tersebut berperanan sebagai sumbangan amal jariah yang sangat-sangat istimewa di dalam Islam.

Inilah diantara kelebihan dan keindahan sistem takaful yang tidak ada dalam sistem insurans konvensional. Menikmati habuan ukhrawi disamping habuan duniawi sekaligus. Firman-firman Allah berikut adalah diantara bukti bahawa amalan bersedekah ini dijanjikan ganjaran yang sangat lumaya disisi Allah Taala. Allah berfirman dalam Surah Al Baqarah ayat 261, maksudnya:Bandingan(derma)orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakiNya dan Allah Maha Luas (rahmat) kurniaNya, lagi Meliputi ilmu pengetahuanNya.

FirmanNya lagi yang bermaksud Dan bandingan orang-orang yang membelanjakan hartanya kerana mencari keredhaan Allah dan kerana meneguhkan (iman dan perasaan ikhlas) yang timbul dari jiwa mereka, adalah seperti sebuah kebun di tempat yang tinggi, yang ditimpa hujan lebat, lalu mengeluarkan hasilnya dua kali ganda. Kalau ia tidak ditimpa hujan lebat maka hujan renyai-renyai pun (cukup untuk menyiraminya)." (Surah al-Baqarah: 265).

Allah Taala juga menjanjikan ganjaran berikut seperti yang disebut di dalam firmanNya yang bermaksud: Orang-orang yang membelanjakan (mendermakan) hartanya pada waktu malam dan siang, dengan cara sulit atau terbuka, maka mereka beroleh pahala di sisi Tuhan mereka dan tidak ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka, serta mereka pula tidak akan berdukacita. (Al Baqarah 274)

Bukan sahaja peserta yang dapat menikmati manfaat rabbani ini malah mereka yang bekerja di syarikat-syarikat takaful termasuklah para wakil atau ejen Takaful yang terus menerus mempromosikan konsep Tabarru' ini, juga bakal mendapat ganjaran Ilahi sebagaimana maksud Hadith:"Barangsiapa yang menunujukkan sesuatu kebaikan, maka baginya ganjaran sebagaimana ganjaran orang yang mengerjakannya".(Riwayat Muslim)

Menerusi amalan tabarru’ ini kita boleh menikmati ganjaran yang istimewa daripada Allah Taala. Amalan ini boleh dikerjakan dengan lebih sempurna, sistematik dan profesional menerusi sistem takaful. Malah amalan tabarru’ menerusi sistem Takaful ini adalah tabarru’ kelas pertama di mana ianya dilakukan dengan ikhlas, sehinggakan tangan kanan yang memberi tangan kiri tidak mengetahuinya. Peluang untuk kita merebut peluang ini terbuka luas samada dengan kita menjadi pelanggan takaful , pekerja takaful mahupun sebagai wakil (ejen) takaful. Semoga harta yang kita peruntukkan sebagai sumbangan takaful itu menjadi hujjah di hadapan Allah kelak sebagai harta yang diredhaiNya.

Bersempena bulan Ramadhan al Mubarak ini amalan sedekah sangat digalakkan oleh Islam dan Allah akan memberikan ganjaran yang sangat hebat. Mudah-mudahan peluang ini dapat dimanfaatkan oleh semua khususnya umat Islam dan tidak disia-siakan.

No comments: