Friday, December 5, 2008

PERLINDUNGAN KESIHATAN MENERUSI KAEDAH TAKAFUL
Wan Jemizan Wan Deraman
AVP,Shariah Compiance Department,TISB


Semua orang mengimpikan kehidupan yang bahagia dan harmoni. Seseorang itu sanggup berbuat apa sahaja demi untuk mencapai bahagia dan harmoni dalam hidup. Ada yang sanggup memerah keringat, membanting tulang empat kerat, mengorbankan harta dan ada yang sanggup mempertaruhkan nyawa. Tetapi malangnya ramai yang terlupa dalam banyak-banyak perkara yang penting untuk mencapai kebahagian dalam hidup ialah kesihatan fizikal dan mental.

Ramai yang menabung untuk simpanan hari tua, untuk pendidikan masa depan anak-anak dan seringkali tabungan untuk kesihatan tidak ramai yang betul-betul membuat persiapan dan persediaan. Malah yang lebih malangnya memandang remeh terhadap aspek tersebut dengan alasan di negara kita ini pihak kerajaan telah menyediakan perkhidmatan kesihatan kenapa perlu bersusah payah lagi untuk menyediakan dana untuk tujuan tersebut.

Dewasa ini kita seringkali dikejutkan dengan pelbagai jenis penyakit kritikal yang memerlukan dana yang besar untuk kos rawatannya. Penyakit darah tinggi dan kencing manis antara dua jenis penyakit yang boleh memberi kesan sampingan yang kronik termasuklah serangan sakit jantung. Penyakit jantung merupakan penyakit pembunuh terbesar di Malaysia. Disamping itu penyakit-penyakit seperti kanser, penyakit buah pinggang, strok dan sebagainya, juga antara penyakit yang dikenal pasti menjadi pembunuh rakyat Malaysia masa kini. Penyakit-penyakit ini memerlukan kos rawatan yang tinggi. Sebagai contoh anggaran perbelanjaan perubatan rawatan kanser payudara disekitar RM20,000 ke RM100,000. Tanpa ada tabungan yang cukup bagaimana boleh menampung kos perubatan yang begitu tinggi.

Kos untuk perkhidmatan perubatan juga telah turut meningkat dari masa ke semasa sehingga menjadi suatu beban yang akhirnya terpaksa ‘merempat’ untuk menagih simpati bantuan orang ramai. Dalam keadaan sebegini sudah pasti akan menambahkan lagi bebanan, beban menanggung penyakit yang dihidapi dan juga menanggung beban kewangan.

Dalam kontek ini , Islam sebagai agama yang lengkap dan syumul yang merangkumi semua aspek kehidupan amat mementingkan penjagaan kesihatan fizikal sebagaimana Islam mementingkan penjagaan kesihatan jiwa dan akal. Malah kaedah penjagaan kesihatan dalam Islam lebih syumul bilamana Islam menetapkan bahawa kesihatan itu bukan hanya kesihatan fizikal semata-mata malah ia mencakupi kesihatan jiwa dan akal.
Kesihatan adalah anugerah yang sangat bernilai dan perlu dihargai. Sabda nabi s.a.w yang bermaksud : Sesungguhnya kamu mempunyai tanggungjawab untuk menunaikan hak terhadap tubuh badan kamu (HR Bukhari ) dan sabda nabi lagi yang bermaksud: Orang mukmin yang kuat lebih baik dan disukai oleh Allah daripada orang mukmin yang lemah ( HR muslim )
Islam mendidik kita untuk menjaga kesihatan dengan cara mengambil langkah-langkah pencegahan sebelum ditimpa sebarang penyakit.Mencegah itu lebih baik daripada berubat. Apabila sudah ditimpa penyakit maka Islam mengajar kita agar tidak berputus asa dan hendaklah berusaha mencari penawar sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: "Allah tidak menurunkan suatu penyakit itu kecuali diturunkan bersamanya ubat"(HR Bukhari ) Dan sebaik-baik penawar ialah Al Quran sebagaimana firman Allah yang bermaksud : Dan kami turunkan Al Quran sebagai penyembuh dan rahmat kepada orang-orang yang beriman (Al Isra’:82)

Diantara kaedah lain yang ditekankan oleh Islam dalam penjagaan kesihatan ialah menitikberatkan kebersihan sebagaimana firman Allah yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang banyak bertaubat, dan mengasihi orang-orang yang sentiasa menyucikan diri" Dari aspek perubatan, kebersihan memainkan peranan yang cukup penting dalam mengelakkan seseorang ditimpa penyakit yang meliputi kebersihan diri dan kawasan persekitaran.

Makanan seimbang adalah antara kaedah yang juga diberi penekanan oleh Islam dalam penjagaan kesihatan.Setiap hari kita menikmati pelbagai jenis juadah makanan untuk keperluan jasmani kita dan membekalkan tenaga yang secukupnya dalam melakukan aktiviti sehari hari. Dalam soal pemakanan ini Allah berfirman yang bermaksud “Wahai manusia, makanlah apa-apa diatas dunia ini dari makanan yang halal dan baik dan janganlah kamu mengikut jejak langkah syaitan kerana sesungguhnya dia adalah musuhmu yang nyata. ”Firman Allah juga: Wahai orang-orang yang beriman, makanlah dari apa-apa yang baik daripada rezeki yang dikurniakan oleh kami kepadaMu dan bersyukurlah kepada Allah dan kepadanyalah kamu bersembah sujud (beribadat)

Pendek kata Islam amat perihatin dalam soal penjagaan kesihatan malah memerintahkan penganutnya sentiasa mengambil berat terhadap penjagaan kesihatan. Ini kerana seperti yang disebut dalam pepatah arab ”akal yang sihat pada tubuh badan yang sihat”. Justeru, menjadi satu tuntutan untuk memastikan segala langkah diambil demi menjaga kesihatan termasuklah menyediakan dana atau sumber kewangan yang cukup.

Memang tidak dinafikan pencegahan adalah cara terbaik untuk menjaga kesihatan.Namun persiapan menyediakan bekalan kewangan yang mencukupi untuk tabungan kesihatan adalah suatu perkara yang sangat perlu. Apabila mempunyai kewangan yang mencukupi maka semua perkara akan menjadi mudah dan barangkali tidak banyak kesulitan yang akan dihadapi walaupun sedang ditimpa penyakit. Pepatah melayu menyebut ’sediakan payung sebelum hujan’ amat tepat untuk direnungi dan sangat relevan dengan persiapan mewujudkan tabungan untuk kesihatan.

Persoalannya, adakah melalui kaedah tabungan biasa seperti yang disediakan oleh institusi kewangan mampu untuk memenuhi keperluan tabungan kesihatan. Memang tidak dinafikan ianya merupakan antara kaedah tabungan yang tidak boleh diketepikan. Cuma dalam hal ini kita perlu mencari satu kaedah yang lebih baik agar ianya benar-benar dapat memenuhi keperluan perlindungan perubatan seperti yang kita hajati.

Alhamdulillah dengan kemunculan takaful seolah-olah memberi nafas baru yang dapat memberikan peluang untuk mendapatkan perlindungan yang lebih komprehensif, adil dan telus. Hasrat untuk mendapatkan perlindungan kesihatan dapat diperolehi menerusi pelbagai produk yang ditawarkan oleh pengendali takaful yang ada di negara kita. Pelbagai produk yang inovatif telah ditawarkan oleh para pengendali ini bagi memenuhi keperluan perlindungan kesihatan oleh masyarakat.

Perlindungan menerusi produk-produk takaful adalah lebih unik kerana ia dirangka berdasarkan kepada tatacara dan modus operandi produk takaful yang mengambilkira kepentingan dan keperluan semua pihak yang terlibat. Di antara elemen yang ada pada satu-satu produk takaful ialah aspek memberikan bantuan perlindungan (protection) jika ditakdirkan seseorang peserta ditimpa sesuatu musibah.

Sebagai contoh Ali menyertai Pelan X dengan mencarum RM100 untuk 10 tahun. Sekiranya Ali hidup sehingga tempoh tersebut maka beliau akan memperolehi apa-apa yang terkumpul bagi tempoh berkenaan. Akan tetapi sekiranya ditakdirkan Ali baru sahaja menyertai pelan tersebut 1 tahun, beliau meninggal dunia. Kalau mengikut kaedah simpanan biasa (bukan kaedah takaful) maka Ali atau waris Ali akan memperolehi secara kasarnya RM1200. Namun hal ini berbeza dengan kaedah takaful. Ali atau warisnya akan menerima secara kasarnya wang caruman terkumpul dicampur dengan keuntungan pelaburan kemudian dicampur pula dengan baki caruman yang belum sempat dijelaskan yang akan dibayar oleh pengendali takaful hasil daripada derma dan bantuan para peserta lain yang menyertai pelan takaful. Pendek kata Ali atau warisnya akan menerima sejumlah wang yang jauh lebih tinggi berbanding daripada apa yang telah beliau carumkan. Justeru, perlindungan kaedah takaful seperti yang diterangkan ini jauh lebih bermanfaat dan dapat meringankan beban ketika ditimpa sesuatu musibah berbanding dengan kaedah-kaedah perlindungan biasa.

Takaful Ikhlas sebagai sebuah pengendali takaful yang berlandaskan prinsip-prinsip Syariah telah mengambil langkah yang proaktif dengan menawarkan produk-produk berkaitan perlindungan kesihatan yang inovatif dan dapat memenuhi keperluan semua lapisan masysrakat. Produk untuk kategori kesihatan ini ditawarkan bukan sahaja kepada individu malah turut ditawarkan kepada badan-badan korporat.

Takaful Ikhlas sangat komited dalam menyediakan perkhidmatan ini selaras dengan iltizamnya untuk memastikan semua urusan perniagaannya berasaskan kepada kesaksamaan dan keadilan.

Diantara produk yang berkaitan kesihatan yang ditawarkan oleh Takaful Ikhlas ialah ’Ikhlas Wanita Takaful’ yang direka khusus untuk perlindungan kesihatan wanita, Ikhlas Critical Illnesss Takaful Rider pula menyediakan perlindungan terhadap 40 penyakit-penyakit kritikal, Ikhlas Hospital Benefit Takaful Rider menyediakan perlindungan dalam bentuk bayaran tunai harian apabila dimasukkan ke hospital dan yang terkini Ikhlas Medic Assist Takaful yang menawarkan 5 pelan penghospitalan dan pembedahan yang komprehensif dengan kos yang berpatutan dan turut menyediakan kad perubatan.

Justeru, langkah-langkah proaktif perlu diambil dengan menyertai mana-mana pelan perlindungan kesihatan yang ditawarkan. Menyiapkan perlindungan untuk kesihatan perlu dimulakan dengan segera bukannya setelah penyakit sudah menyerang, seperti pepatah melayu menyebut ’sudah terantuk baru terngadah’.
TAKAFUL; PILIHAN TERBAIK UNTUK UMAT ISLAM
Wan Jemizan Wan Deraman
AVP,Shariah Compliance Department,TISB

Takaful berasal dari perkataan Arab iaitu ‘takafala’ yang bermaksud saling jamin-menjamin di antara satu sama lain. Dalam industri takaful, peserta-peserta Takaful akan saling jamin-menjamin sesame mereka dengan memperuntukkan jumlah tertentu bantuan sewaktu salah seorang daripada mereka ditinpa musibah.

Sistem insurans mengikut secara Islam ialah satu sistem yang berteraskan kepada prinsip Syariah iaitu al-Quran, Sunnah, Ijmak dan Qias. Tegasnya Islam menetapkan prinsip “Ketelusan dan Keadilan” bagi memastikan semua pihak yang berurusan tidak merasa tertindas, sebagaimana firman Allah SWT dalam surah al-Nahl, ayat 90:

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah menyuruh (kamu) berlaku adil dan berbuat kebajikan, memberi kepada kaum kerabat, dan Allah melarang dari perbuatan keji, kemungkaran dan permusuhan. Dia memberi pengajaran kepadamu agar kamu daoat mengambil pelajaran.”

Prinsip utama dalam takaful ialah semua pihak yang menyertai kontrak ini dapat merasa manfaat dan tidak terasa sebarang keraguan atau rasa tertipu, seperti membayar sesuatu dengan harga yang mahal tetapi tidak mendapat barang yang dikehendaki, atau pun barang itu hanya dijanjikan jika berlaku sesuatu musibah ke atas diri atau hartanya.

Sehubungan dengan itu, kontrak takaful adalah berasaskan kepada Tabarru’ (sumbangan) dan Taawun (tolong menolong)., di mana semua peserta yang memilih /menyertai Plan Takaful bersetuju untuk saling tolong menolong, jamin menjamin antara mereka ketika ditimpa musibah atau kemalangan. Maksudnya, semua peserta menyumbang dengan ikhlas untuk saling membantu antara mereka jika ditimpa musibah. Dengan konsep Tabarru’ & Taawun ini, maka akan terhapuslah sikap keakuan, iaitu saya beli polisi ini untuk diri saya dan bukan untuk orang lain, tetapi konsep Tabarru’ & Taawun, ini telah menyemarakkan rasa kasih sesama saudara ketika mereka mengalami kesusahan atau penderitaan.

Tegasnya lagi, dalam sistem takaful, bukan hanya nama yang berbeza bahkan juga kontrak yang berasaskan Tabarru’ & Taawun, dan ia dikawal selia oleh Majlis Pengawasan Syariah bagi memastikan semua operasinya samada produk, pelaburan dan juga pengurusan adalah selaras dengan prinsip-prinsip Syariah.

Sebenarnya, konsep yang sangat mulia ini telah wujud dan dilaksanakan sejak zaman Rasulullah SAW. Konsep ‘takaful’ ini telah diamalkan mengikut kondisi semasa pada zaman tersebut. Untuk pengetahuan kita bersama, sebenarnya terdapat paling kurang lima skim jaminan sosial (insurans) telah dilaksanakan pada zaman Rasulullah s.a.w dan para sahabat.

Antara skim-skim tersebut adalah:



a. Skim (Nidhom) al-Aqilah

Skim ini telah diterimapakai oleh Rasulullah s.a.w sebaik sahaja tertubuhnya Negara Islam Madinah. Skim ini bertujuan melindungi seseorang dari tanggungan pembunuhan yang tidak disengajakan.

Skim ini dilaksanakan menerusi sumbangan sejumlah wang tertentu dari setiap ahli Qabilah kepada satu dana untuk menampung pembayaran Diyat kepada keluarga si mati.

Sebenarnya konsep skim ini telah dilaksanakan oleh kaum Arab jahiliyah dalam usaha mereka untuk mencari jalan penyelesaian dari terus berbunuhan sesama kabilah. Amalan ini diterimapakai oleh Islam.

b. Skim al-Qasamah

Skim ini membolehkan anggota masyarakat mengambil tanggungjawab bersama bagi membantu ahli keluarga yang mati dibunuh apabila pembunuhnya tidak dapat dikesani atau tidak mempunyai keterangan dan bukti yang lengkap sehingga dapat disabitkan dengan kesalahan untuk menerima pampasan tertentu.

c. Skim Muwalah

Skim ini berlaku secara sukarela antara dua pihak dengan tujuan salah seorang daripadanya mengambil risiko tanggungan ke atas sahabatnya sekiranya berlaku sesuatu malapetaka ke atas salah seorang daripada mereka.

d. Skim Dhaman dan Kafalah

Skim ini adalah satu kontrak jaminan samada untuk mendapatkan sesuatu yang dijamin oleh seseorang atau menjamin seseorang terhadap sesuatu risiko, tertakluk kepada syarat-syarat tertentu yg telah dipersetujui mereka.

e. Zakat

Zakat juga merupakan satu-satunya institusi jaminan sosial yangg diwajibkan oleh Islam, di mana 2.5% daripada harta seseorang wajib dizakatkan untuk diagihkan kepada lapan (8) asnaf (golongan) yang berhak setelah cukup syarat-syaratnya.

Kesimpulannya, nilai murni yang terdapat dalam pelaksanaan Takaful ini sebenarnya telah wujud sejak zaman- berzaman lagi. Sekiranya ia dihayati dengan sebetulnya, maka banyak faedah yang akan diperolehi. Bukan sahaja peserta-peserta akan mendapat perlindungan ketika berhadapan dengan musibah, tetapi lebih dari itu adalah mereka menderma untuk membantu peserta lain yang berada dalam kesusahan.