Friday, December 5, 2008

TAKAFUL; PILIHAN TERBAIK UNTUK UMAT ISLAM
Wan Jemizan Wan Deraman
AVP,Shariah Compliance Department,TISB

Takaful berasal dari perkataan Arab iaitu ‘takafala’ yang bermaksud saling jamin-menjamin di antara satu sama lain. Dalam industri takaful, peserta-peserta Takaful akan saling jamin-menjamin sesame mereka dengan memperuntukkan jumlah tertentu bantuan sewaktu salah seorang daripada mereka ditinpa musibah.

Sistem insurans mengikut secara Islam ialah satu sistem yang berteraskan kepada prinsip Syariah iaitu al-Quran, Sunnah, Ijmak dan Qias. Tegasnya Islam menetapkan prinsip “Ketelusan dan Keadilan” bagi memastikan semua pihak yang berurusan tidak merasa tertindas, sebagaimana firman Allah SWT dalam surah al-Nahl, ayat 90:

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah menyuruh (kamu) berlaku adil dan berbuat kebajikan, memberi kepada kaum kerabat, dan Allah melarang dari perbuatan keji, kemungkaran dan permusuhan. Dia memberi pengajaran kepadamu agar kamu daoat mengambil pelajaran.”

Prinsip utama dalam takaful ialah semua pihak yang menyertai kontrak ini dapat merasa manfaat dan tidak terasa sebarang keraguan atau rasa tertipu, seperti membayar sesuatu dengan harga yang mahal tetapi tidak mendapat barang yang dikehendaki, atau pun barang itu hanya dijanjikan jika berlaku sesuatu musibah ke atas diri atau hartanya.

Sehubungan dengan itu, kontrak takaful adalah berasaskan kepada Tabarru’ (sumbangan) dan Taawun (tolong menolong)., di mana semua peserta yang memilih /menyertai Plan Takaful bersetuju untuk saling tolong menolong, jamin menjamin antara mereka ketika ditimpa musibah atau kemalangan. Maksudnya, semua peserta menyumbang dengan ikhlas untuk saling membantu antara mereka jika ditimpa musibah. Dengan konsep Tabarru’ & Taawun ini, maka akan terhapuslah sikap keakuan, iaitu saya beli polisi ini untuk diri saya dan bukan untuk orang lain, tetapi konsep Tabarru’ & Taawun, ini telah menyemarakkan rasa kasih sesama saudara ketika mereka mengalami kesusahan atau penderitaan.

Tegasnya lagi, dalam sistem takaful, bukan hanya nama yang berbeza bahkan juga kontrak yang berasaskan Tabarru’ & Taawun, dan ia dikawal selia oleh Majlis Pengawasan Syariah bagi memastikan semua operasinya samada produk, pelaburan dan juga pengurusan adalah selaras dengan prinsip-prinsip Syariah.

Sebenarnya, konsep yang sangat mulia ini telah wujud dan dilaksanakan sejak zaman Rasulullah SAW. Konsep ‘takaful’ ini telah diamalkan mengikut kondisi semasa pada zaman tersebut. Untuk pengetahuan kita bersama, sebenarnya terdapat paling kurang lima skim jaminan sosial (insurans) telah dilaksanakan pada zaman Rasulullah s.a.w dan para sahabat.

Antara skim-skim tersebut adalah:



a. Skim (Nidhom) al-Aqilah

Skim ini telah diterimapakai oleh Rasulullah s.a.w sebaik sahaja tertubuhnya Negara Islam Madinah. Skim ini bertujuan melindungi seseorang dari tanggungan pembunuhan yang tidak disengajakan.

Skim ini dilaksanakan menerusi sumbangan sejumlah wang tertentu dari setiap ahli Qabilah kepada satu dana untuk menampung pembayaran Diyat kepada keluarga si mati.

Sebenarnya konsep skim ini telah dilaksanakan oleh kaum Arab jahiliyah dalam usaha mereka untuk mencari jalan penyelesaian dari terus berbunuhan sesama kabilah. Amalan ini diterimapakai oleh Islam.

b. Skim al-Qasamah

Skim ini membolehkan anggota masyarakat mengambil tanggungjawab bersama bagi membantu ahli keluarga yang mati dibunuh apabila pembunuhnya tidak dapat dikesani atau tidak mempunyai keterangan dan bukti yang lengkap sehingga dapat disabitkan dengan kesalahan untuk menerima pampasan tertentu.

c. Skim Muwalah

Skim ini berlaku secara sukarela antara dua pihak dengan tujuan salah seorang daripadanya mengambil risiko tanggungan ke atas sahabatnya sekiranya berlaku sesuatu malapetaka ke atas salah seorang daripada mereka.

d. Skim Dhaman dan Kafalah

Skim ini adalah satu kontrak jaminan samada untuk mendapatkan sesuatu yang dijamin oleh seseorang atau menjamin seseorang terhadap sesuatu risiko, tertakluk kepada syarat-syarat tertentu yg telah dipersetujui mereka.

e. Zakat

Zakat juga merupakan satu-satunya institusi jaminan sosial yangg diwajibkan oleh Islam, di mana 2.5% daripada harta seseorang wajib dizakatkan untuk diagihkan kepada lapan (8) asnaf (golongan) yang berhak setelah cukup syarat-syaratnya.

Kesimpulannya, nilai murni yang terdapat dalam pelaksanaan Takaful ini sebenarnya telah wujud sejak zaman- berzaman lagi. Sekiranya ia dihayati dengan sebetulnya, maka banyak faedah yang akan diperolehi. Bukan sahaja peserta-peserta akan mendapat perlindungan ketika berhadapan dengan musibah, tetapi lebih dari itu adalah mereka menderma untuk membantu peserta lain yang berada dalam kesusahan.

No comments: